Monday, September 4, 2017

Give & Take Dalam Rumahtangga





*SUAMI ISTERI WAJIB BACA*

(Baca smpi habis, mungkin ada manik2 jernih di kelopak mata yg dtahan2kan, supaya tak jatuh😢)

Kisah ini agak panjang tetapi berbaloi bagi sesiapa yang meluangkan masa membacanya....

*MENYELAMATKAN PERKAHWINAN DENGAN UBAH DIRI*
.
Satu hari saya bersembang bersama dengan anak perempuan saya. Dia beritahu saya, "Ayah nak tahu tak, masa kecil-kecil dulu, satu perkara yang paling saya takut sekali, ialah bila ayah dengan ibu sering bergaduh dan hampir-hampir nak bercerai. Tapi saya syukur sangat ia tak terjadi sampai hari ini". Kata anak perempuan saya..
.
Saya hanya tersenyum saja.. teringat kisah lama.
.
Bila saya imbau kembali pengalaman tersebut, saya rasa ada baiknya saya kongsikan dengan anak perempuan saya peristiwa ini, semoga ia boleh dijadikan pengajaran pada mereka nanti.
.
Dahulu ayah berkahwin dengan ibu engkau atas dasar suka sama suka, tetapi ayah sendiri tak berapa pasti apa yang ayah suka pada ibu engkau, tapi apa yang ayah tahu, makin lama masa berlalu, makin banyak perkara yang tak bersesuaian antara kami. Kadang-kadang nak buat keputusan nak makan kat mana pun boleh jadi gaduh. Makin lama, perbezaan semakin ketara. Salah sikit, ibu engkau merajuk berhari-hari. Salah sikit, ayah sendiri naik angin, kadang-kadang sampai baling barang kesana kemari. Ayah tahu, anak-anak semua jadi takut pada ayah, tapi ayah rasa ibu engkau selalu buat perkara yang ayah tak suka. Pergaduhan kami jadi semakin kerap, ia berlarutan bertahun-tahun. Masing-masing tak boleh salah sikit, dua-dua nak melenting, tidur pun kadang-kadang asing-asing. Kami rasa perkahwinan ini sudah semakin mustahil untuk diselamatkan, penyelesaian yang mampu difikirkan hanyalah PENCERAIAN sahaja. Cuma apabila fikir pasal anak-anak, ayah jadi sebak dan sering kali cuba buang pemikiran tersebut.
.
Satu hari ayah kerja outstation, cuba telefon ibu engkau nak bertanya khabar, ayah tak tahu macamana ianya berakhir dengan pertengkaran. Ibu engkau terus hempas telefon. Waktu itu ayah benar-benar frust, give up, rasa keseorangan, marah, ayah jerit sorang-sorang dalam kereta dan waktu itu ayah rasa ia betul-betul dah sampai limit. Sudah habis tahap kesabaran yang ada dalam diri ini.
.
Malam tu ayah tidur disebuah hotel budget. Malam tu cuba nak tidur, tapi mata tak boleh lelap. Sakit hati dekat ibu engkau dah sampai tahap maksima. Jam dah tunjuk pukul 2 pagi, mata masih tak boleh lelap. Nak call ibu engkau semula seperti mana yang ayah buat selalu, sebab ayah selalu mengalah akhirnya, rasanya kali ini tidak lagi lah. Kali ini ayah nekad, apa nak jadi, jadilah. Ayah dah tak sanggup hidup bersama ibu engkau lagi. Kepala batu, kuat merajuk, sombong, tak pernah nak jaga hati suami, buat perkara yang suami tak suka, tak dengar nasihat, suka melawan, tak jaga makan minum ayah dan tak mahu-mahu berubah jadi isteri yang baik.
.
Dalam keadaan yang tak keruan itu, ayah tak sedar bila masa ayah bangun dan ayah ambil sejadah dan ayah solat ditengah-tengah malam. Ini jalan terakhir, ayah berdoa dan mengadu pada ALLAH. Itulah malam yang ayah tak boleh lupa hingga hari ini. Ayah mengadu yang kahwin dengan ibu engkau adalah satu kesilapan dan ayah dah tak mahu terusnya lagi. Memang ayah benci dan menderita dengan perkataan cerai, apa lagi bila terbayang muka anak-anak, tetapi meneruskan hidup dengan ibu engkau juga satu penderitaan. Tetapi semakin lama ayah berdoa dan mengadu kepada Tuhan, tiba-tiba ayah mula konfius, ayah rasa ayah orang baik, ayah selalu betul dan ibu engkau bukanlah orang jahat, dia tak pernah menduakan ayah, dalam hidup dia bukan ada orang lain pun, hanya ayah sahaja, tapi kenapa perkahwinan kami tidak bahagia, kenapa banyak sangat perbezaan pendapat, kenapa dia tak mahu berubah ikut cakap ayah?
.
Akhirnya, suatu keajaiban berlaku. Dalam keadaan air mata masih berlinangan di pipi ayah, dalam keadaan yang sangat putus asa dengan ibu engkau, tiba-tiba ayah seperti terasa sesuatu memaksa masuk dalam fikiran ayah. Seperti ayah mendapat kekuatan bercakap dengan diri ayah sendiri. "Ayah tak boleh nak ubah ibu engkau, ayah hanya boleh ubah diri ayah sendiri. Ayah pun berdoa, ya Allah, jika memang benar aku tidak boleh mengubah isteri ku ini, tolonglah ubah diriku pula. Bantulah aku ya Allah."
.
Esoknya, ayah naik kereta dan mulakan perjalanan balik kerumah kerana kerja outstation ayah sudah habis. Sesampai dirumah, anak-anak riang gembira sambut ayah balik, tapi ibu engkau bergegas pergi ke dapur, buat kerja dia, dan langsung tak salam dengan ayah, langsung tak bercakap dengan ayah pada hari itu.
.
Malam tu, ayah tidur, tapi ibu engkau bagi belakang aje kat ayah. Bila ayah dah rasa ibu engkau benar-benar tidur, ayah selimutkan dia, dan ayah perasan tiba-tiba dia terjaga dan buang selimut tersebut. Kali ini ayah tersenyum saje, tak seperti selalu.
.
Esok pagi, ayah datang dekat-dekat ibu engkau, ayah bagi salam, dan ayah tanya dia "Saya nak tanya awak, apa yang saya boleh buat pada hari ini supaya hari ini lebih baik untuk awak?"
.
Ibu engkau lihat ayah dengan marah dan merajuk, "Cakap apa ni?"
.
Ayah ulang lagi "Saya nak tanya awak, apa yang saya boleh buat pada hari ini supaya hari ini lebih baik untuk awak?"
.
"Awak memang tak boleh, dah bertahun awak. Pasal apa awak tanya ni?"
.
"Saya benar-benar ingin berubah kali ini, saya benar-benar ingin tahu apa yang saya boleh buat supaya awak bahagia."
.
Ibu engkau menjeling sinis, "Ha, kalau awak betul-betul nak buat, tu, pergi lah cuci baju, basuh pinggan mangkuk kat dapur tu"
.
Mesti waktu tu ibu engkau jangka ayah akan mengamuk lagi seperti biasa, bertengkar lagi, tapi ayah hanya senyum dan mengangguk, tup tup ayah pergi ke dapur, cuci pinggan, ambil semua pakaian, masuk ke dalam washing machine, tunggu sampai kering dan sidai di ampaian, bila siap, barulah ayah bersiap-siap untuk pergi kerja. Seperti biasa kalau ibu engkau merajuk, jangan harap apa-apa sarapan pagi akan ada. Tapi kali ini ayah tak kisah. Bila dah siap, ayah cium kepala ibu engkau dan ayah terus pergi kerja.
.
Esok pagi ayah buat perkara yang sama, pagi-pagi ayah bangun, ayah bagi salam kat ibu engkau dan ayah tanya dia, "Saya nak tanya awak, apa yang saya boleh buat pada hari ini supaya hari ini lebih baik untuk awak?"
.
Mata ibu engkau masih pandang kelain, "Hendak sangat buat, buatlah sarapan pagi untuk anak-anak"
.
Ayah tarik nafas dalam-dalam, ibu engkau tahu, ayah kalut nak pergi kerja, dan ayah rasa dia sengaja nak tengok ayah nak mengamuk lagi, tapi kali ini ayah hanya senyum, ayah mengangguk, dan ayah terus pergi kedapur buatkan sarapan roti bakar, telur goreng dan air kopi panas. Semuanya ayah letak bawah tudung saji. Lepas tu, ayah sendiri tak makan, dan ayah bersiap utk pergi kerja sebab dah lewat. Sebelum pergi ayah cium kepala ibu engkau dan baru ayah pergi kerja.
.
Esoknya, pagi-pagi lagi ayah dah bangun, ayah gerak ibu engkau, bagi salam dan ayah tanya soalan yang sama, "Saya nak tanya awak, apa yang saya boleh buat pada hari ini supaya hari ini lebih baik untuk awak?"
.
"Tak ada apa awak, tak ada yang awak boleh buat pun, saya minta maaf, hati saya dah terlalu sakit. Tolonglah jangan tanya soalan tu lagi. Tapi kenapa awak buat semua ni?"
.
"Saya dah berjanji pada diri saya sendiri, mulai hari ini sehingga akhir nyawa saya, saya akan berusaha untuk buat perkara yang boleh membahagiakan awak"
.
Ibu engkau diam, mata dia pandang ke tempat lain, tapi ayah perasan, ada manik jernih dimatanya. Bila ayah berlalu kerana bersiap nak pergi kerja, ayah perasan ibu engkau lap mata dia.
.
Esoknya dan esoknya dan esoknya seperti biasa ayah tanya soalan yang sama pada ibu engkau, sehinggalah pada minggu kedua, satu pagi tu, satu keajaiban berlaku. Seperti biasa pagi tu ayah tanya soalan yang sama pada ibu engkau, tiba-tiba ibu engkau menangis dan peluk kaki ayah, "Tolonglah jangan tanya soalan tu lagi, awak bukan masalahnya, sebenarnya sayalah yang bermasalah, saya keras hati, saya tak tahu kenapa awak boleh tahan hidup dengan saya".
.
Perlahan-lahan ayah angkat dagu ibu engkau dan ayah cakap,

"Kerana awak penting dalam hidup saya, kerana awak ibu kepada anak-anak saya, kerana awak teman saya sebelum ini, kerana awak tak pernah tinggalkan saya walau bagaimana pertengkaran kita sekali pun, kerana saya nak selamatkan perkahwinan kita dan kerana saya sangat sayangkan awak"
.
Ayah tanya lagi "Apa yang saya boleh buat pada hari ini supaya hari ini lebih baik untuk awak?"

"Patutnya saya yang tanya soalan itu"

"Awak memang patut tanya, tapi bukan hari ini, kerana saya yang perlu DIUBAH DAN BERUBAH, saya nak awak tahu betapa bermaknanya diri awak dalam hidup saya. Saya sayang awak sangat. Jadi apa yang saya boleh buat pada hari ini supaya hari ini lebih baik untuk awak?"
.
Ibu engkau renung ayah dan dia kata " Boleh kita spend masa dua-dua bercuti, kita tinggal budak-budak kat rumah atok dia"

"Cadangan yang baik, jom kita plan hari ini kita nak pergi mana?"
.
Saya terus lakukan perkara yang sama selama lebih dua bulan, dan keadaan berubah perlahan-lahan. Bertengkar sudah tiada lagi. Ibu engkau pun dah pandai tanya soalan yang sama pada ayah. "Apa yang awak nak dari saya? Macamana saya boleh jadi isteri yang lebih baik?"
.
Dinding yang memisahkan kami selama ini telah runtuh. Kehidupan ibu dengan ayah lebih bahagia. Kadang-kadang masih juga terjadi pertengkaran, tetapi cara pertengkaran tersebut jauh berbeza, kami berselisih faham sahaja, tidak lagi bertengkar sehingga menyakitkan hati masing-masing, tidak seperti dulu lagi.
.
Ayah dan ibu kahwin dah lebih 20 tahun, ayah bukan saja sayang ibu engkau, ayah suka dia, ayah perlukan dia. Banyak perbezaan pendapat ayah lihat ia menjadi kekuatan dalam kehidupan kami, selebihnya ayah dah tak kisah. Ayah telah belajar bagaimana mengambil berat antara satu sama lain dan yang terpenting, kami mendapat kekuatan untuk buat perkara itu.
.
Perkahwinan sesuatu yang sukar nak. Tetapi mendapat teman didalam hidup merupakan satu anugerah besar daripada Tuhan. Saya sering bertanya apa yang boleh saya lakukan untuk menjaga anugerah ini.
.
Marilah kita sama-sama mendalami ilmu kekeluargaan demi kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga kita semua.
-
Menerima tulisan ini daripada seorang sahabat melalui aplikasi Whatsapp tanpa diketahui siapa penulisnya. Didoakan yang menulis dan memanjangkannya diberikan pahala yang melimpah ruah. Nasihat yang bermanafaat ❤