FOLLOWERS

Tuesday, July 19, 2016

Tips untuk memulakan simpanan Takaful

Bayaran bulanan takaful kadang kala menjadi beban bagi sesetengah orang terutama mereka yang berpendapatan rendah. Apabila ini terjadi, ramai yang terpaksa mengelak untuk mengambil pelan perlindungan tersebut walaupun mereka faham ia adalah penting.

Bagi mereka yang mempunyai gaji tinggi, mungkin tiada masalah untuk mencarum takaful. Namun, lain pula bagi mereka yang berpendapatan rendah kerana kos yang tinggi menjadi halangan untuk mengambil pelan perlindungan.

Apabila sesetengah pemegang polisi tidak mampu untuk membuat bayaran setiap bulan secara tetap, maka polisi tersebut boleh terbatal dengan sendirinya.

Bagi mereka yang bergaji rendah tetapi masih mahu mengambil takaful, anda mungkin boleh baca dan kaji beberapa faktor seperti berikut:


Bajet

Pengurusan kewangan yang baik biasanya menetapkan pengambilan takaful tidak melebihi 10% dari gaji yang diterima. Jika gaji anda adalah RM2,000 sebulan, ini bermakna anda hanya boleh ambil pelan takaful sehingga RM200 setiap bulan sahaja.

Tetapkan had limit anda sendiri bagi mengelakkan beban yang terlalu tinggi setiap bulan dan menyebabkan polisi terbatal kerana tidak mampu membuat bayaran setiap bulan.

Selain itu, cara terbaik bagi mengelakkan anda terlepas membuat bayaran takaful adalah dengan membuat potongan secara automatik melalui akaun bank anda. Dengan cara ini anda tidak perlu risau tentang masalah pembayaran kerana anda telah meletakkan takaful sebagai perbelanjaan yang utama.


Keperluan

Setiap orang mempunyai keperluan pelan perlindungan yang berbeza mengikut kadar risiko masing-masing.

Orang yang bekerja di pejabat mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding mereka yang bekerja di atas jalan raya. Oleh itu, tetapkan had bayaran bulanan mengikut kadar risiko anda.

Selain itu, semak juga kad perubatan yang telah disediakan oleh kebanyakan majikan. Jika sesetengah kos perubatan sudah dibiayai oleh majikan, tidak perlu untuk ambil kad perubatan yang sama. Anda hanya perlu ambil kad perubatan luar yang tidak dibiayai oleh majikan anda.


Produk

Kebanyakan ejen takaful pada hari ini akan cuba mempromosikan pelan perlindungan yang digabungkan sekali dengan pelan pelaburan. Apabila pelan tersebut mempunyai fungsi tambahan, ini bermakna caruman bulanan anda akan meningkat.

Jika anda rasa terbeban, anda boleh pilih untuk mengambil pelan takaful hayat bagi perlindungan diri anda sahaja dengan syarat majikan anda menawarkan faedah kad perubatan. Cara ini dapat mengurangkan kos bulanan anda.

Perkara yang perlu anda faham adalah semakin banyak manfaat pelan perlindungan tersebut, semakin tinggi caruman bulanan. Oleh itu, pilih produk yang terbaik supaya anda tidak membayar takaful yang terlalu mahal tetapi manfaat yang sedikit.


Bermula awal 

Jika anda adalah seorang lepasan universiti, takaful adalah antara perkara utama yang perlu anda fikirkan. Hal ini kerana anda masih muda dan caruman takaful setiap bulan masih lagi rendah.

Selain itu, ketika muda juga anda masih lagi sihat dan jauh dari sebarang masalah kesihatan atau penyakit yang boleh menyebabkan caruman bulanan anda meningkat. Permohonan polisi anda juga mungkin akan ditolak jika anda sudah menghidap pelbagai jenis penyakit.

Anda juga digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Caruman bagi mereka yang merokok tidak sama nilainya dengan mereka yang tidak merokok. Ini kerana perokok mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Semoga artikel ini dapat membantu anda membuat keputusan dalam pemilihan pelan perlindungan anda.

No comments:

Post a Comment